Isnin, 10 Disember 2012

AKTIVITI, MEDIUM DAN PENCEMARAN DALAM PENDIDIKAN KESIHATAN


AKTIVITI, MEDIUM DAN PENCEMARAN DALAM PENDIDIKAN KESIHATAN

 

PENGENALAN

Menurut Wee ( 1995 ), Pendidikan Kesihatan dalam masyarakat bertujuan untuk membantu individu dalam masyarakat mengaplikasikan prinsip-prinsip kesihatan yang betul dan mengamalkannya dalam segala aspek kehidupan seharian. Ini boleh dijalankan melalui         agensi-agensi Kementerian Kesihatan, agensi-agensi kesihatan sukarela, sekolah, organisasi remaja dan kumpulan masyarakat lain. Maklumat Pendidikan Kesihatan boleh disampaikan kepada masyarakat dengan menggunakan pelbagai aktiviti dan medium yang mengambilkira apakah tujuan dan siapakah kumpulan sasaran.

 

Pencemaran merupakan suatu perbuatan atau aktiviti yang boleh menganggu kesihatan dan menjejaskan kesihatan hidupan. Pencemaran terdiri daripada dua jenis iaitu pencemaran yang disebabkan oleh faktor semulajadi dan pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia, Pencemaran yang disebabkan oleh faktor manusia terdiri daripada pencemaran udara, pencemaran air, pencemaran kimia, pencemaran radiasi, pencemaran bunyi dan pencemaran kimia. Pencemaran didatangkan beberapa punca yang membawa banyak kesan kepada persekitaran.

 

1.0  AKTIVITI-AKTIVITI PENYAMPAIAN MAKLUMAT KEPADA MASYARAKAT

Aktiviti merupakan sesuatu kegiatan yang dilakukan. Dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat berkaitan dengan kepentingan kesihatan di dalam kehidupan, pelbagai aktiviti boleh digunakan. Antaranya ialah senaman, reakreasi dan aktiviti ilmiah.

 

 

 

1.1       SENAMAN

Senaman adalah latihan satu jenis gerak badan yang merupakan kepada kesihatan asas tanpa peringkat umur agar menjadikan individu lebih cergas dan sihat seumur hidup. Selain daripada itu, senaman boleh menguatkan dan membina kesihatan jasmani terutamanya jantung, paru-paru, otot-otot, tulang dan sendi. Melalui senaman, maklumat kesihatan dapat disampaikan kepada masyarakat dengan pelbagai cara sama ada secara langsung ataupun tidak langsung.

 

1.1.1    Aktiviti-aktiviti Senaman

Pelbagai cara dapat diaplikasikan dalam penyampaian maklumat kepada masyarakat melalui senaman. Contoh-contoh aktiviti senaman secara langsung adalah terdiri daripada senaman aerobik dan sukan permainan seperti permainan bola sepak, bola jaring, badminton dan sukan air. Dengan adanya aktiviti seperti ini, bukan sahaja boleh menerbitkan kesoronokan namun melalui keterlibatan masyarakat pelbagai lapisan menjadikan masyarakat sedar akan kepentingan Pendidikan Kesihatan kepada kehidupan mereka.

 

Di samping itu, masyarakat boleh juga didedahkan atau menyertai pelbagai kejohanan yang dianjurkan seperti sukan antara jabatan, sukan antara staf, sukan antara kolej atau universiti atau sekolah dan pertubuhan-pertubuhan. Aktiviti-aktiviti sukaneka dan hari keluarga juga boleh diadakan. Dengan ini, masyarakat secara tidak langsung telah didedahkan dengan kesan-kesan kepentingan menjaga kesihatan pengekalan tahap kecergasan di dalam kehidupan seharian.

 

Manakala senaman secara tidak langsung pula boleh disampaikan dengan melakukan senaman sama ada di rumah atau di tempat kerja. Senaman-senaman ini adalah seperti membasuh baju, mengemas rumah, mencuci pinggan mangkuk, mencuci lantai, berkebun, berjalan, menaiki tangga dan melakukan renggangan sewaktu bekerja. Ini penting bagi perkembangan dan kesejahteraan fizikal dan mental serta dapat menyihatkan dan menyegarkan tubuh badan.

 

Untuk itu, bagi mendapatkan kesan yang positif, senaman harus dibuat secara tetap iaitu bersenam sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali seminggu selama dua puluh minit sehingga tiga puluh minit setiap sesi.

 

1.2       REKREASI

Rekreasi merupakan aktiviti kesenggangan. Terdapat dua jenis kegiatan rekreasi yang boleh diaplikasikan oleh masyarakat iaitu rekreasi aktif dan rekreasi pasif. Kegiatan rekreasi aktif memerlukan individu menggunakan tenaga untuk melakukannya. Masyarakat boleh menyedari kepentingan kesihatan dengan melakukan aktiviti-aktiviti seperti berjalan kaki, berjogging, mendaki gunung, bersampan dan tarian poco-poco manakala bagi kegiatan rekreasi pasif pula adalah seperti membaca buku, mendengar muzik, bermain congkak dan menonton televisyen. Walaupun tanpa menggunakan tenaga yang banyak namun aktiviti rekreasi pasif bermanfaat dalam mencapai kesejahteraan mental dan penting dalam perkembangan masyarakat sebagai manusia yang berkualiti.

 

1.3       AKTIVITI-AKTIVITI ILMIAH

Maklumat kepentingan kesihatan dapat disampaikan melalui aktiviti pameran, ceramah dan seminar. Aktiviti ini sesuai digunakan kerana masyarakat boleh berinteraksi terus dengan individu-individu yang bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat kesihatan. Masyarakat boleh terus mendapatkan maklumat melalui penyediaan bahan-bahan seperti    risalah-risalah, buku-buku, majalah-majalah dan juga iklan-iklan di samping melalui sesi soal jawab dengan penceramah-penceramah kesihatan. Ini penting bagi masyarakat memperolehi pelbagai maklumat kesihatan untuk dijadikan bahan rujukan dan panduan dalam lebih memahami kepentingan isu-isu kesihatan.

 

Secara kesimpulannya, dengan adanya pengelibatan dan penyertaan masyarakat dalam     aktiviti-aktiviti ini maka akan mewujudkan masyarakat celik Pendidikan Kesihatan, mampu mencapai kesihatan mereka dengan sepenuhnya di samping melahirkan masyarakat yang menghargai kesihatan sebagai aset yang paling bernilai dan dapat mengambil langkah positif dalam meningkatkan lagi dan mengekalkan status kesihatan bagi menikmati kehidupan yang lebih bermutu.

 

2.0  MEDIUM PENDIDIKAN KESIHATAN

Medium Pendidikan Kesihatan merupakan cara media untuk berkomunikasi dan menyampaikan maklumat secara meluas sama ada secara visual, audio, teks, grafik dan animasi berkaitan dengan kesihatan kepada masyarakat umum. Dua jenis medium yang boleh digunakan dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat iaitu media cetak dan media elektronik atau penyiaran yang mana merupakan teknik pemberitahuan, mempengaruhi dan memotivasi masyarakat umum tentang kepentingan isu-isu kesihatan berasaskan pertimbangan etika dan saintifik di samping dapat mengubah tingkah laku masyarakat terhadap permasalahan kesihatan yang khusus dalam mempertingkatkan kesedaran kesihatan mereka.

 

2.1       MEDIA CETAK

Media cetak adalah sebaran maklumat yang boleh disampaikan melalui surat khabar, majalah dan risalah. Segala maklumat, iklan, berita dan rencana akan dikarang dan diberi kesan yang lebih menarik dan kreatif dari segi visual, teks dan grafik agar dapat disampaikan dengan tepat kepada para pembaca.

 

Sebagai contoh, dalam maklumat yang lebih berfokuskan kepada bahayanya merokok kepada kehidupan masyarakat sejagat, medium bercetak seperti iklan boleh digunakan dengan mengeluarkan poster-poster tentang kesan-kesan negatif merokok yang boleh menjejaskan kesihatan masyarakat terutamanya kepada golongan perokok-perokok. Dengan ini, secara tidak langsung dapat menyedarkan dan seterusnya mengubah tingkah laku masyarakat kepada kehidupan yang lebih sihat setelah mengetahui bahayanya setiap saat sedutan asap rokok  tersebut.

2.2       MEDIA ELETRONIK

Media eletronik atau penyiaran akan mengutarakan isu-isu atau fakta kesihatan menerusi media masa seperti radio, televisyen dan internet. Ketiga-tiga media masa ini menyelitkan visual, audio, teks, grafik dan animasi dalam membantu penyampaian maklumat dengan lebih berkesan.

 

2.2.1    RADIO

Masyarakat yakni sebagai pendengar akan didedahkan dengan kebijaksanaan juruhebah radio dalam menyampaikan maklumat-maklumat kesihatan dengan tepat, jelas dan terkini. Juruhebah boleh menyelitkan lagu-lagu hiburan bagi mengelakkan para pendengar merasa bosan dengan rancangan yang hanya bersifat ilmiah sahaja. Di samping itu, pakar-pakar yang berkaitan dengan penyakit dan perubatan, kaunseling dan perunding kesihatan boleh dijemput untuk bersoaljawab secara langsung dengan pendengar tentang sesuatu isu kesihatan.

 

Contohnya, isu tentang penyakit  didatangkan oleh nyamuk baru-baru ini iaitu Chikungunya. Maklumat tentang apakah Chikungunya?, bagaimanakah terjadi?, siapakah mangsa?, di manakah dan bilakah Chikungunya boleh terjadi ? dengan sendirinya dapat diketahui oleh pendengar. Ini terjadi melalui temuramah atau soaljawab antara pakar kesihatan dengan juruhebah atau pakar dengan para pendengar.

 

2.2.2    TELEVISYEN

Televisyen merupakan media masa yang sangat dinamik kerana ia mengabungkan elemen visual, audio, teks, grafik dan animasi dalam memberi gambaran, liputan dan rangkuman maklumat kesihatan dengan lebih jelas, tepat dan menarik kepada para penonton. Dengan ini, para penonton dapat melihat atau menonton  secara langsung dan menyeluruh isu-isu kesihatan seolah-olah seperti benar-benar berlaku dalam kehidupan nyata. Semua lapisan masyarakat tidak kira      kanak-kanak, muda dan tua pasti lebih tertarik dengan penyampaian maklumat menggunakan televisyen. Maklumat tersebut boleh dalam bentuk berita, rencana, iklan, forum dan drama atau filem.

 

Contohnya seperti kes penularan wabak influenza H1N1. Masyarakat didedahkan bagaimana cara penyebaran wabak, kesan-kesan wabak dan bagaimana mengatasi wabak H1N1 daripada terus merebak. Pengelibatan televisyen berkenaan dengan wabak H1N1 bertujuan memberi masyarakat ruang agar sentiasa bersedia berdepan dengan apa jua situasi dan melakukan pencegahan awal untuk keselamatan diri.

 

2.2.3    INTERNET

Internet merupakan wadah maklumat yang bersifat globalisasi dalam penyebaran maklumat pada masa kini. Maklumat-maklumat kesihatan dapat disebarkan kepada masyarakat dengan melayari pelbagai laman web. Selain daripada mendapatkan maklumat, internet boleh digunakan untuk melihat kajian-kajian penyelidikan, memberi  peluang berinteraksi dengan pelbagai lapisan di seluruh dunia melalui interaktif e-mail dan chat. Di samping itu, pengguna juga boleh berbincang secara langsung dengan pakar-pakar perubatan melalui tele-perubatan.

 

Misalnya, seseorang individu yang mengalami masalah dalam kesihatan yang kronik seperti barah otak boleh menggunakan chat atau tele-perubatan mencari satu cara yang konsisten bagi menyelamatkan nyawa pesakit tersebut. Ini dapat dilakukan dengan kerjasama dan kolaborasi antara semua masyarakat di dunia.

 

Oleh itu, melalui medium-medium yang efektif dan berkesan akan dapat membantu meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan kesihatan iaitu merupakan agen untuk mempengaruhi masyarakat agar mengamalkan gaya hidup yang sihat di samping dijadikan maklumat sokongan bagi membantu masyarakat dalam membuat pilihan rancangan penjagaan dan cara rawatan kesihatan yang sesuai dan betul. Ini dapat mendidik masyarakat dapat menjalani kehidupan yang sihat sepanjang masa.

 

3.0       PENCEMARAN ALAM SEKITAR

Keselamatan kesihatan persekitaran meliputi semua aspek kesihatan manusia yang melibatkan kualiti hidup yang dipengaruhi oleh faktor-faktor kimia, biologi, social dan psikososial dalam persekitaran. Oleh itu, dalam tugasan ini akan dibincangkan tentang apakah definisi pencemaran, punca-punca dan kesan-kesan pencemaran yang memberikan kesan serta memudaratkan persekitaran.

 

3.1       DEFINISI PENCEMARAN

Menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka ( DBP ), mendefinisikan bahawa pencemaran adalah suatu perbuatan yang mencemarkan atau mengotorkan alam sekeliling dengan sampah sarap. Selain daripada itu, pencemaran adalah kesan yang memudaratkan persekitaran daripada hasil atau aktiviti manusia seperti industri dan proses pertanian.

 

Secara kesimpulannya, pencemaran merupakan suatu perbuatan atau aktiviti yang boleh mengganggu kesihatan dan menjejaskan kesempurnaan hidup manusia daripada kebiasaannya.

 

3.2       JENIS-JENIS PENCEMARAN

Terdapat dua jenis pencemaran iaitu pencemaran yang disebabkan oleh factor semulajadi dan pencemaran yang disebabkan oleh factor semulajadi.

 

 

3.2.1    Pencemaran Yang Disebabkan Oleh Faktor Semulajadi

Pencemaran ini berlaku dengan sendirinya setelah berlaku bencana alam seperti letusan gunung berapi, gempa bumi, ribut taufan, tsunami dan tanah runtuh.

 

3.2.2    Pencemaran Yang Disebabkan Oleh Faktor Manusia

Pencemaran ini berpunca daripada manusia sendiri iaitu sama ada disengajakan atau pun tidak. Pencemaran-pencemaran ini adalah seperti pencemaran udara, pencemaran air, pencemaran kimia, pencemaran radiasi dan pencemaran bunyi.

 

4.0       PUNCA-PUNCA DAN KESAN-KESAN PENCEMARAN

Di sini akan dikupas tentang apakah punca-punca pencemaran terjadi dan kesan-kesan yang didatangkan oleh pelbagai pencemaran terhadap persekitaran.

 

4.1       Pencemaran Yang disebabkan Oleh Faktor Semulajadi

Pencemaran ini diakibatkan oleh berlakunya bencana-bencana alam secara semulajadi. Faktor geografi banyak mempengaruhi pencemaran ini. Pencemaran ini tidak dapat dijangka kejadiannya. Apabila bencana-bencana alam seperti letusan gunung berapi, gempa bumi, ribut taufan, banjir, tsunami dan tanah runtuh terjadi maka banyak kesan yang akan ditinggalkan terhadap persekitaran. Antaranya ialah bangunan yang runtuh, menjejaskan bentuk muka bumi, memusnahkan harta benda dan merosakkan infrastruktur. Banyak kerugian yang harus ditanggung. Selain daripada itu, pencemaran jenis ini juga boleh mengakibatkan kematian hidupan dan kepupusan habitat.

 

 

 

4.2       Pencemaran Udara

Pencemaran udara merupakan satu keadaan yang melibatkan pengeluaran gas-gas beracun, zarah yang terperangkap hasil dari asap kenderaan, industri perkilangan dan insinirator, jerebu daripada kesan pembakaran secara terbuka dan penggunaan racun kimia dalam bidang pertanian yang melepaskan unsur-unsur toksik ke udara. Pencemaran udara terdiri daripada dua bentuk iaitu pencemaran udara dalaman dan pencemaran udara luaran.

 

Pencemaran udara dalaman berpunca daripada asap rokok, wap daripada bahan binaan, fosil daripada bahan api dan habuk atau debu. Manakala pencemaran udara luaran pula diakibatkan oleh pertumbuhan dan perkembangan pesat sektor  industri, ekonomi dan kenderaan bermotor.       Jenis-jenis pencemaran udara yang paling utama dan membahayakan kesihatan manusia terdiri daripada sulphur dioksida, karbon monoksida, nitrogen dioksida, partikel, plumbum, hidrokarbon, jerebu, ozon dan hujan asid.

 

Pencemaran ini bukan sahaja mengakibatkan kesihatan manusia terjejas tetapi juga menyebabkan kerosakan kepada tumbuhan seperti nekrosis ( keguguran daun ), klorosis ( pertukaran warna ) dan pertumbuhan terbantut. Di samping itu, haiwan juga akan terancam atau mati kerana boleh menyekat system penafasan haiwan. Pencemaran udara boleh mengakibatkan kekotoran pada pakaian, kereta dan bangunan akibat pengenapan asap atau zarah halus serta debu-debu.

 

Selain daripada itu, pencemaran udara boleh mengakibatkan pemanasan global disebabkan penyusutan lapisan ozon. Ini akan menyebabkan kanser kulit dan seterusnya mengancam keseimbangan ekosistem di dunia pada masa kini. Hujan asid juga boleh berlaku hasil daripada penggabungan gas sulfur dioksida dengan hujan seterusnya membentuk asid sulfurik dan asid nitrik. Akibat jerebu pula menyebabkan tahap penglihatan kita kurang.

 

Pencemaran udara sama ada pencemaran udara dalaman ataupun pencemaran udara luaran adalah merupakan ancaman terhadap kesihatan respiratori dan kadiovaskular manusia. Dengan pendek kata, semua ini boleh mengakibatkan kemudaratan kepada kehidupan manusia, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan organism serta benda-benda di dunia ini.

 

4.3       Pencemaran Air

Pencemaran air ialah pencemaran yang berlaku di sungai, tasik dan laut. Ini berpunca daripada pembuangan air kumbahan, sisa-sisa kimia, sisa-sisa toksik, sampah sarap dan tumpahan minyak. Terdapat pelbagai jenis pencemaran air yang terdiri daripada mikrobiologikal, kimia, pengurangan kandungan oksigen, nutrient dan penyingkiran jirim.

 

Apabila berlaku pencemaran air, secara langsung boleh memudaratkan semua hidupan. Ini kerana air merupakan keperluan asas kepada fungsi manusia seperti sumber minuman dan makanan, mandi, membasuh, berekreasi serta mengekalkan integriti ekosistem. Hidupan akuatik juga akan mengalami kepupusan andai terjadi pencemaran air di laut.

 

4.4       Pencemaran Kimia

Terdapat tiga jenis pencemaran kimia iaitu racun makluk perosak, raksa dan arsenik dan florida. Dengan penghasilan dan penggunaan racun makluk perosak dan racun kimia secara berleluasa dan tidak bersistematik telah menyebabkan pencemaran kimia. Di peringkat dunia, pembangunan industri, organisasi dan program pertanian yang intensif telah banyak menyumbang kepada pertambahan kadar pencemaran kimia.

 

Ini telah mengakibatkan hidup manusia terancam dan memberikan kesan yang teruk kepada kesihatan manusia. Antaranya adalah boleh menyebabkan pertumbuhan dan perkembangan yang tidak normal serta kegagalan organ tubuh untuk berfungsi secara normal dan akan menganggu sistem immunisasi manusia serta boleh mengakibatkan barah, leukaemia, sarcoma, lymphoma dan barah otak. Selain daripada itu, pencemaran kimia boleh mencemarkan udara, sungai, sumber air bawah tanah, tanah, tumbuhan dan makanan.

 

4.5       Pencemaran Radiasi

Pencemaran radiasi diakibatkan dari dedahan terhadap ion-ion radiasi yang tinggi, radioaktif daripada tenaga nuklear dan ketuhar gelombang mikro pada kadar antara 1Mz – 10GHz. Kesan dedahan pencemaran radiasi boleh mengakibatkan kecacatan otak, kecelaruan tingkah laku, barah, kecacatan pada bayi dan masalah psikologi.

 

4.6       Pencemaran bunyi

Bunyi yang dihasilkan melampaui tahap keselesaan iaitu mencapai 55dB dan melebihi 80dB. Pencemaran bunyi ini boleh berlaku di rumah, tempat-tempat awam, tempat kerja, kenderaan dan jentera perkilangan adalah sumber pencemaran bunyi.

 

Ini akan mengakibatkan masalah keselesaan, kesukaran tidur, mencacatkan pendengaran serta menganggu aktiviti mental seperti penumpuan, ingatan dan menyelesaikan masalah secara analitik. Selain itu, pencemaran bunyi juga boleh mengakibatkan masalah stress ( tekanan ) dan penyakit darah tinggi. Akibat daripada kesan-kesan tersebut, masalah seperti  penurunan produktiviti dalam pekerjaan dan mengakibatkan kemalangan.

 

Apabila dilihat kepada punca-punca daripada semua pencemaran, banyak kesan-kesan negatif terpaksa dihadapi oleh semua hidupan di darat, di udara dan di dalam air. Secara kesimpulannya, kesihatan manusia akan terjejas, hidupan flora dan fauna akan pupus dan terjadinya perubahan bentuk muka bumi akibat daripada pelbagai pencemaran. Oleh itu, kita sebagai masyarakat harus mempunyai kesedaran tentang kepentingan menjaga bumi ini daripada sebarang pencemaran agar hidup lebih sihat dan berkualiti dan bebas dari segala masalah kesihatan.

 

PENUTUP

Kesihatan merupakan aset yang penting kepada setiap manusia. Maka Pendidikan Kesihatan adalah satu jambatan ilmu kepada masyarakat dalam mengaplikasikan dan mengamalkan     prinsip-prinsip kesihatan dengan betul dalam kehidupan seharian mereka.

 

Aktiviti seperti senaman, rekreasi dan aktiviti ilmiah seperti pameran, ceramah dan seminar kesihatan dibantu penggunaan medium iaitu medium cetak dan medium eletronik agar dapat membantu masyarakat lebih memahami kepentingan kesihatan di dalam kehidupan.

 

Pencemaran adalah sesuatu perbuatan yang mengotorkan kebersihan alam sekeliling. Pencemaran terdiri daripada lima jenis iaitu pencemaran udara, pencemaran air, pencemaran kimia, pencemaran radiasi dan pencemaran bunyi. Oleh itu, sebagai masyarakat harus bijak dalam mengawal kadar pencemaran alam sekitar dengan mengetahui tentang keselamatan kesihatan persekitaran.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan